







Oleh: Sholina Osman
25 JAN. 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited akan terus memberi keutamaan menjaga kebajikan anggota polis khususnya dengan menyediakan lebih banyak kuarters bagi anggota peringkat bawahan pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kalau kuarters tidak mencukupi, pastinya anggota terpaksa menyewa yang pasti akan membebankan mereka.
“Elaun sewa rumah pula RM250, sukar sekali untuk menyewa rumah pada harga ini sekarang,” katanya pada sidang media.
PEMBINAAN BANGUNAN BAHARU
Sebelum itu Saifuddin menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli, Kelantan,
sebuah projek bernilai RM103.95 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-11 (2017).
Projek ini merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, balai polis, kuarters, surau, dewan serbaguna, dan kemudahan lain untuk memastikan kebajikan dan keselesaan anggota polis sentiasa terjamin.
Projek ini merupakan satu lagi usaha strategik KDN untuk memperkasa infrastruktur penguatkuasaan keselamatan negara.
MEMPERKUKUH KEBAJIKAN ANGGOTA
Pembangunan ini bukan sahaja memperkukuh kebajikan anggota PDRM, malah turut menyokong misi mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.
Dalam ucapannya, Saifuddin berkata, jika suasana tempat kerja dan tempat tinggal sudah cukup kondusif, maka diharap ia akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.
“Semoga tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan dari segi mutu perkhidmatan menjaga keselamatan setempat,” katanya. – JM