Oleh : Wartawan Jendela Madani
23 Jan 2025
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam menolak permohonan seorang peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sekatan yang dikenakan ke atas hantaran Facebooknya tahun lalu.
Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan untuk mengeluarkan hantaran Dr Shamsher Singh Thind itu dilakukan Facebook dan bukan oleh MCMC.
Oleh yang demikian, Hakim Anand Ponnudurai berkata, ia bukanlah keputusan yang boleh disemak oleh mahkamah.
Dalam keputusan yang disampaikan melalui Zoom, hakim itu berkata, MCMC hanya mengeluarkan permintaan untuk tindakan oleh Facebook.
Anand berkata lagi, Shamsher Singh gagal mengemukakan kes yang boleh dipertikaikan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman.
Menyifatkan permohonan undang-undang MCMC sebagai tindakan pentadbiran, hakim iru berkata ia bukanlah sesuatu yang boleh dikuatkuasakan secara undang-undang.
“Sebarang tindakan lanjut, jika ada, hendaklah dilakukan terhadap Facebook di mahkamah sivil,” kata Anand.
Anand menambah, platform media sosial mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal kandungan, walaupun apabila digesa oleh pengawal selia seperti MCMC.
Shamsher Singh Thind telah membuat permohonan untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan hantaran Facebooknya disekat daripada dilihat oleh pengguna di Malaysia, pada Mei 2024.
Dalam permohonannya kepada mahkamah, Shamsher Singh mendakwa MCMC telah melanggar kebebasan bersuara beliau dengan menyekat hantaran tersebut.
Beliau mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan pengawal selia itu sebagai tidak sah dan mahu MCMC menarik balik “arahan” kepada Facebook untuk menyekat hantaran tersebut.
Dalam hantaran Facebook yang disekat itu, Shamsher telah mengaitkan pemberian kontrak kerajaan kepada suami seorang menteri kabinet.
Peguam Shamsher Singh, A. Srimurugan, berkata anak guamnya mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa MCMC tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengeluarkan arahan tersebut.
Srimurugan, yang hadir bersama J. Gunamalar, berkata walaupun tindakan MCMC disebut sebagai permintaan pentadbiran, ia sebenarnya berbentuk arahan.
“Walaupun ia dipanggil permintaan pentadbiran atau sebaliknya, tindakan ini perlu disemak oleh mahkamah,” ujar beliau.
Dalam hujah bertulis ketika mewakli MCMC, Peguam Negara meminta supaya permohonan itu ditolak, mengatakan bahawa permintaan pentadbiran MCMC “tidak boleh disemak melalui permohonan semakan kehakiman”.
Peguam Negara dalam kes ini diwakili oleh peguam persekutuan, Aliza Jamaluddin – JM