Kastam Perlis patahkan cubaan seludup 1.7 tan daun ketum bernilai RM68,000

Oleh: Sholina Osman
23 JAN. 2025

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,700 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM68,000.00 di kawasan Pulau Ketam, Kuala Perlis pada pukul 10 malam, 18 Januari 2025.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis semasa mengadakan rondaan laut telah bertindak mengejar sebuah sampan fiber tanpa nombor pendaftaran yang dilihat bergerak laju menuju ke arah Thailand dari arah Pulau Ketam.

“Pasukan telah menghampiri sampan tersebut dan mengarah untuk berhenti bagi membolehkan dijalankan pemeriksaan,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM
Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis hari ini.

JURUMUDI BERTINDAK MEMECUT

Bagaimanapun kata Ismail, jurumudi bertindak memecut ke kawasan air cetek sebelum dua lelaki berkenaan terjun dan berenang ke daratan untuk melarikan diri.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap sampan berkenaan telah ditemui 170 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun hijau disyaki ketum dengan anggaran berat 1,700 kg (1.7 tan) yang bernilai RM68,000.00.

Beliau berkata, dipercayai daun ketum yang diperoleh dari Kedah dan Perlis kini berharga RM40 sekilogram di pasaran.

SAMPAN BERSAMA ENJIN

Selain itu, pihaknya juga menyita sampan berkenaan bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM50,000.

Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *