Sampan milik Kastam Perlis yang dicuri penyeludup ditemui di Satun, Thailand

Oleh: Sholina Osman
23 JAN. 2025

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis percaya kehilangan
aset sebuah sampan yang bernilai RM150,000 mempunyai kaitan tidak puas hati penyeludup ekoran kekerapan siri rampasan oleh jabatan berkenaan melibatkan dadah serta ketum.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, sampan berkenaan yang ditambat di jeti JKDM Kuala Perlis ini dipercayai dicuri antara pukul 4 hingga 6 pagi pada 13 Januari 2025.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat laporan polis di atas kehilangan aset tersebut.

“Beberapa siasatan telah dijalankan dan operasi mencari telah dilakukan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM
Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis hari ini.

PENCARIAN MENJEJAKI SAMPAN

Ismail berkata, pencarian menjejaki sampan berkenaan diteruskan apabila mendapat bantuan pihak berkuasa Thailand iaitu Maritime Enforcement Coordinating Centre (MECC) yang melibatkan polis, kastam dan lain-lain serta disusuli dengan saluran Malaysia-Thailand Border Coordinating Office (MTBCO).

“Tiga hari selepas itu, pada 16 Januari 2025 sampan berkenaan telah ditemui di perairan Satun, Thailand,” katanya.

Beliau berkata, sampan berkenaan akan diserahkan kembali kepada pihaknya.

AKAN DISERAHKAN SEMULA

Ismail berkata, sampan berkenaan yang lengkap dengan segala peralatan ini akan diserahkan semula tidak lama lagi.

Beliau berkata, dipercayai penyeludup berkenaan cuba mengambil semula sampan mereka yang dirampas oleh pihak Kastam.

Bagaimanapun apabila gagal berbuat demikian, penyeludup nekad mengambil sampan yang ditambat di jeti Kastam untuk dilarikan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *