







Oleh: Sholina Osman
23 JAN. 2025
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran menyarankan pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) menonjolkan diri dengan membina kredibiliti dan imej kukuh demi memantapkan reputasi universiti di peringkat nasional serta global.
Beliau berkongsi pandangan tersebut pada sesi khas bersama 180 pensyarah muda dan Profesor Madya di Dewan Seminar, Pusat Konvensyen UUM, Sintok, Kedah baru-baru ini.
“Nama universiti tidak akan melonjak tanpa sokongan para pensyarah kerana kehebatan universiti ini selalunya diukur melalui keupayaan dan kebolehan pensyarah dalam menterjemahkan kecemerlangan akademik,’ ujarnya.
PERLU MENONJOL KEPAKARAN
Oleh itu dalam pasaran global yang semakin sengit sekarang pensyarah perlu menonjolkan kepakaran masing-masing agar dapat membawa nama universiti ke tahap yang lebih tinggi.
Formula ini sangat strategik dalam meningkatkan kualiti akademik universiti dan usaha perlu dilakukan dengan memperbaiki pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran serta mengambil peranan aktif dalam mempromosikan kehebatan program akademik yang diiktiraf oleh MQA.
“Sokongan MQA amat penting untuk memastikan semua program akademik memenuhi piawaian kualiti dan diiktiraf,” jelasnya.
BEKERJA SECARA SINERGI
Oleh itu katanya, pensyarah perlu bekerja secara sinergi untuk menghasilkan program yang relevan dan berimpak tinggi.
Program anjuran Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar UUM ini diadakan sempena kunjungan hormat beliau ke pejabat Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan mengadakan sesi dialog bersama dekan serta ketua-ketua jabatan di kampus ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik Prof Madya Dr Mohd Zailani Mohd Yusof. – JM