PMX beramah mesra dengan rakyat Malaysia di Belgium

Oleh: Sholina Osman
20 JAN. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bertapa pentingnya menghormati dan menjuarai nilai manusiawi dalam membentuk Malaysia ke sebuah negara yang lebih bertamadun dan berjaya di masa hadapan.

Jelas beliau, namun itu agak sukar berlaku jika rakyat khususnya golongan belia dan anak muda masih melayan budaya terlalu selesa, tidak mahu berubah, malah terpedaya dengan mainan politik murahan sesetengah pihak.

“Namun nasihat saya adalah, untuk terus membangun dan berjaya, perlunya kebersamaan dari semua pihak termasuk anak jati Malaysia yang berada di luar negara agar negara tidak ketinggalan di persada dunia,” katanya menerusi hantaran di FBnya.

Perdana Menteri berucap demikian semasa menghadiri Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia di Belgium.

LAWATAN DUA HARI

Majlis yang diadakan sempena lawatan dua hari beliau ke Belgium yang bermula Ahad (19 Januari 2025) itu dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak dan Presiden Persatuan Malaysia di Belgium, S. Sarala.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *