Oleh: Sholina Osman
20 JAN. 2025
Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa mahukan program Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) dijalankan secara berkala dan berterusan.
Sehubungan itu, Dr Zaliha telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi memastikan kelancaran program ini.
Beliau telah melancarkan Majlis Pelancaran Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) di Bukit Bintang, yang turut dilaksanakan serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Kempen ini sejajar dengan visi Bandar CHASE, di mana kebersihan menjadi komponen utama dalam membentuk Clean City.
HANYA BERSIFAT RETORIK
Jela beliau, keberkesanan program seperti ini tidak boleh hanya bersifat retorik, sebaliknya mesti memberikan impak yang nyata dan boleh diukur.
“Pada masa yang sama, saya menegaskan bahawa inisiatif kerajaan sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan aktif komuniti setempat,” katanya menerusi perkongsian pada FBnya.
Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan bersama untuk memastikan kawasan yang didiami ini kekal bersih dan terjaga.
“Semasa tinjauan di Bukit Bintang, saya telah memberikan beberapa arahan kepada Datuk Bandar,” katanya.
TONG SAMPAH KECIL
Antaranya termasuk penambahbaikan tong sampah kecil dan penutup longkang yang telah rosak serta usaha mencantikkan hoarding di kawasan pembangunan agar pemandangan bandar lebih terjaga sementara projek tersebut disiapkan.
Beliau juga berkesempatan berbincang dengan pihak SWCorp untuk melibatkan golongan gelandangan yang produktif dalam usaha mengutip sampah di bandar raya Kuala Lumpur ini.
Dengan bantuan SWCorp, mereka boleh menerima hasil keuntungan daripada timbang berat sampah yang dikutip, sekali gus menyumbang ke arah matlamat “zero waste” yang kita harapkan dan juga memanfaatkan inisiatif “Waste to Wealth”.
Kerjasama dengan peniaga di Bukit Bintang juga boleh dilaksanakan, di mana mereka boleh memainkan peranan dengan menjaga kebersihan kawasan di hadapan premis masing-masing, sambil DBKL perlu memainkan peranan dalam memantau tahap kebersihan kawasan tersebut secara berterusan.
KEMPEN KIBAR BENDERA
Pada satu lagi hantaran pada FBnya, Dr Zaliha turut melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 yang akan diraikan pada 1 Februari ini.
Seperti tradisi saban tahun, sambutan Hari Wilayah Persekutuan dimulakan dengan semangat patriotisme melalui Kempen Kibar Bendera.
“Tahun ini, sebanyak 72,000 bendera Wilayah Persekutuan akan diagihkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
MENEMPUHI PELBAGAI CABARAN
Dr Zaliha berkata, selama 51 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan, kita telah menempuhi pelbagai cabaran dan mencapai pelbagai kejayaan.
Ketiga-tiga wilayah ini membawa nilai dan identiti unik, di mana Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara, Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, dan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa,” tambahnya.
Tahun ini, tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ diangkat, menzahirkan semangat bahawa Wilayah Persekutuan adalah milik kita bersama.
Tema ini menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam menjaga dan memajukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan demi kesejahteraan kita bersama.
Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 akan dimeriahkan dengan lebih 60 program menarik sepanjang bulan Februari.
“Oleh itu, saya mengajak semua warga Wilayah Persekutuan untuk turut serta menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirancang, agar sambutan ini lebih bermakna buat kita semua,” katanya. – JM