Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita )
20 Jan 2025
Lawatan rasmi Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim selama lima hari ke United Kingdom baru-baru ini telah mencipta pelbagai kejayaan yang menjulang nama Malaysia ke persada dunia.
Bukan sahaja potensi pelaburan dapat diraih tetapi juga hubungan Malaysia London semakin erat .
Menyusuri lawatan kerja PM ke London , dalam pertemuan dan perbincangan dua hala antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya iaitu Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer, mereka bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ke tahap perkongsian strategik.
Ia antaranya dengan memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharu, AI atau kecerdasan buatan dan digital, perubahan iklim, pendidikan tinggi, pertahanan, politik serta keselamatan.
Dalam isu genjatan senjata Israel – Palestin, Anwar dan Starmer juga senada dalam menyokong perjanjian genjatan senjata pada kadar segera.
Sebagaimana semua lawatan ke luar negara sebelum, tumpuan utama Anwar ialah tentang pelaburan dan perdagangan.
Di UK, beliau telah mengadakan pertemuan dengan 31 wakil industri dan syarikat terkemuka di negara itu yang meliputi sektor pembuatan dan perkhimatan, perbankan farmaseutikal, automatif, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui dan pertahanan.
Melalui pertemuan tersebut, potensi pelaburan bernilai RM11 bilion berjaya dirangkul dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, automotif, perbankan, hartanah dan petrokimia.
Selain itu, potensi eksport bernilai RM500 juta turut berjaya dijana dalam tempoh lima tahun akan datang berkaitan produk peralatan dan komponen pesawat, perabot. makanan serta minuman.
Dalam lawatan ke UK ini, Anwar juga menyampaikan ucaptama dan bertemu syarikat-syarikat pengurus dana terkemuka dunia dalam program yang dianjurkan oleh Invest Malaysia.
PROMOSI MALAYSIA NEGARA YANG SELAMAT
Melalui program itu, Anwar mengambil kesempatan untuk mempromosikan inisiatif ASEAN dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Perdana Menteri turut dijemput untuk menyampaikan syarahan umum di London School of Economics & Political Science (LSE) bertajuk “The Adaptive Edge: Malaysia’s GlobalStrategy in Uncertain Era”.
Dalam ucapannya, beliau antara lain mempromosikan Malaysia sebagai lokasi aman dan selamat, bebas dan terbuka, serta mengutamakan dasar yang jelas, mampan, terangkum dan berdaya tahan.
Lawatan ke UK turut memberi makna tambahan kerana Perdana Menteri telah merasmikan dua projek yang melibatkan syarikat Malaysia.
Projek pertama ialah mengubah Bristol Brabazon menjadi kawasan pembangunan utama yang dibangunkan oleh YTL Group.
Projek tersebut dijangka menjana potensi eksport Malaysia berjumlah RM1.1 bilion dalam 5 tahun akan datang.
Projek kedua ialah Ladang Solar Kampana oleh TNB yang bernilai
RM600 juta dan berupaya menjana 35 megawatt tenaga elektrik untuk kegunaan 14,000 isi rumah dalam setahun.
Kedua-dua projek ini memberi makna yang besar kepada prestasi syarikat Malaysia dalam membina nama di luar negara, sekaligus memberi keuntungan kepada negara-JM