






Oleh: Sholina Osman
19 JAN. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa setiap kegagalan dalam kehidupan itu bukanlah sebuah pengakhiran, tetapi pelajaran yang berharga.
Sehubungan itu, titah Baginda, jangan muda berputus asa, walau dalam apa keadaan sekali pun kerana setiap langkah kecil kita ke arah kejayaan, akan membawa perubahan besar dalam hidup dan masyarakat di sekeliling kita. InsyaAllah.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Huda, Felda Mata Ayer, Padang Besar.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Padang Besar , Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah.
PENYERAHAN SUMBANGAN MAIPs
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs kepada 300 orang asnaf yang terpilih daripada kalangan anak kariah Felda Mata Ayer, anak kariah Felda Rimba Mas, anak kariah Batu 20 dan anak kariah Kampung Cantik.
Setiap mereka menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 dengan jumlah penuh wang zakat diagihkan MAIPs pada sesi kali ini sebanyak RM210,000.
Para penerima sebelum itu menjalani saringan kesihatan secara percuma, mendengar ceramah berjudul ‘Jauhi Najis Dadah’ daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis serta ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh pihak MAIPs. – JM