Oleh: Sholina Osman
19 JAN. 2025
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kadar penembusan akses 5G oleh rakyat negara ini mencatatkan peningkatan positif apabila melonjak hampir lima kali ganda kepada 53.35 peratus sehingga Disember 2024.
Beliau berkata, tempoh lonjakan ini dalam masa setahun sahaja berbanding kadar penembusan akses 5G pada Oktober 2023 hanya 10.8 peratus.
Beliau berkata, dengan adanya ketersambungan yang meluas, penembusan akses 5G dapat melengkapkan keupayaan untuk penjagaan kesihatan
kendiri dalam kalangan rakyat.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha memanfaat dan merealisasikan potensi penuh rangkaian 5G bagi memperkasakan sektor penjagaan kesihatan,” katanya ketika berucap melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A) Dewan Serbaguna, IWK Ecopark Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
PROGRAM RINTIS FH4A
Fahmi berkata, program Rintis FH4A diperkenalkan sebagai inisiatif strategik yang bertujuan untuk mengaplikasikan teknologi terkini bagi
meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara, selain
memastikan keterangkuman dan kesaksamaan akses kepada
manfaat teknologi kesihatan masa hadapan rakyat.
Jelasnya, Malaysia sedang berhadapan dengan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi.
“Sebanyak RM9.65 bilion (16.8 peratus) daripada perbelanjaan kesihatan negara telah digunakan untuk merawat NCD,” katanya.
Fahmi berkata, kesan daripada NCD turut membawa kepada kerugian besar terhadap ekonomi negara, dengan kehilangan produktiviti yang
dianggarkan sebanyak RM12.88 bilion pada tahun 2017.
TAHAP LITERASI KESIHATAN
Tambahnya, tahap literasi kesihatan dalam kalangan rakyat juga pada tahap yang kurang memberangsangkan.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi
Kebangsaan (NHMS) katanya, mendapati, kadar literasi kesihatan di
Malaysia, iaitu keupayaan untuk memahami dan mengakses
maklumat bagi mengekalkan tahap kesihatan tidak menunjukkan
peningkatan memberangsangkan dari tahun 2019 hingga 2023,
dengan kadar purata sebanyak 1 peratus
“Kejayaan program Malaysia International Healthcare (MIH)
Megatrends yang dilaksanakan oleh KKM pada tahun lalu telah
berjaya menarik lebih 5,000 peserta, dan menjadi pemangkin
kepada pelaksanaan FH4A,” katanya.
20 BUAH LOKASI
Jelasnya, program ini akan dilaksanakan di 20 buah lokasi berbeza di enam buah negeri.
“Siri jelajah akan bermula di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, diikuti di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan akan diakhiri di negeri Johor,” katanya.
Fahmi melahirkan penghargaan terhadap rakan strategik yang menyokong program ini seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), ProtectHealth, Khazanah Research Institute (KRI) dan KPJ
Healthcare Berhad.
“Saya harap kewujudan program ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap literasi kesihatan rakyat, malah dapat memastikan rakyat lebih peka dan bersedia untuk menghadapi
cabaran berkaitan kesihatan,” katanya.
AKSES KEPADA MAKLUMAT
Beliau percaya bahawa akses kepada maklumat yang tepat, jelas,
serta kemampuan untuk memanfaatkan teknologi kesihatan masa hadapan adalah kunci kepada kesejahteraan komuniti.
Jelasnya, melalui kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan
swasta, media dan masyarakat, kita mampu membentuk sebuah
negara yang lebih berdaya tahan dan bermaklumat.
Semoga dengan program ini katanya, rakyat dapat menikmati akses kepada
maklumat yang lebih cepat, tepat dan mudah melalui teknologi yang
disediakan. – JM