





Oleh: Sholina Osman
19 JAN 2025
Program Jualan Rahmah Parlimen Nibong Tebal telah berlangsung meriah pada hari ini di perkarangan Dewan Serbaguna MPKK Seri Ampangan anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal dan Yayasan Rahmah Malaysia.
Program yang menawarkan barangan keperluan harian seperti ayam segar, ikan, telur, beras dan minyak masak dengan harga lebih murah ini dianjurkan bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Program yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang pengunjung yang terdiri daripada masyarakat setempat di Seri Ampangan ini turut menawarkan perkhidmatan kaunter agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
MENYAMPAIKAN SUMBANGAN BARANGAN
Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek telah turut hadir ke program ini untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan B40 dan asnaf serta bermesra dengan pengunjung.
Mengulas lanjut program yang dianjurkan ini, Fadhlina berkata, program ini dianjurkan khusus untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat. Ia adalah komitmen berterusan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal untuk membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. – JM