









Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan FB Polis Perlis
18 JAN. 2025
Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disaran supaya menjadi ejen untuk menyedarkan golongan remaja khususnya supaya tidak terjebak dalam aktiviti rempit atau menjadi “samseng jalanan”.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin berkata, sebagai pelajar IPTA yang mempunyai tahap pemikiran yang lain dan istimewa ini diharap boleh menjadi teladan dalam mematuhi undang-undang jalan raya.
Baderulhisham berkata demikian semasa mengulas isu “Bicara Rempit – Mana Hala Tuju Remaja Hari Ini” pada Program Bual Bicara sempena Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya (Roda 2) Pelajar IPTA.
Beliau berharap dengan segala ilmu yang diperoleh di sepanjang program advokasi ni juga dikongsi bersama rakan sekampus supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
Program sehari ini anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis bersama Universiti Malaysia Perlis ( UniMAP) yang diadakan di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh Putra, Arau.
Bual bicara ini dikendalikan oleh Penolong Pengarah Sektor Sumber Dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Arifah Raedah Mohamad Pauzi selaku moderator dengan dibarisi dua lagi panel iaitu Naib Cancelor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.
DAPAT MEMBERIKAN PANDUAN
Baderulhisham berharap dengan program advokasi dan bual bicara mengenai isu rempit ini dapat memberikan panduan kepada pelajar IPTA juga jangan sesekali terlibat dalam kancah yang dibenci oleh pengguna jalan raya.
Beliau berkata, pada tahun lepas sahaja JPST Perlis telah melaksanakan 129 operasi motosikal.
“Sebanyak 9569 pemeriksaan ke atas motosikal dilakukan di mana
4970 saman dikeluarkan, 317 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 82 tangkapan dilakukan di mana rata-ratanya melibatkan golongan remaja.
Sementara itu, Zaliman mahukan pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang pengajian masing-masing kerana mereka adalah bakal pemimpin pada masa depan.
DI SEPANJANG PENGAJIAN
Beliau berkata, jangan sesekali membuang masa di sepanjang pengajian kerana terlibat dalam merempit, dadah dan juga bohsia.
“UniMAP tidak mahu dengar jika ada pelajar diberkas kerana terlibat dalam aktiviti merempit dan jika berlaku juga, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya
Manakala Mohd Asri berkata, pelajar IPTA tidak wajar terlibat dalam aktiviti rempit yang disifatkan mempunyai latar pendidikan yang baik.
BERFIKIR DENGAN BAIK
“Pelajar IPTA boleh berfikir dengan baik dan tidak akan mudah terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah dan dilarang agama,” katanya.
Sementara itu sempena program ini yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin ini juga diadakan Pertandingan Akhir ‘Motor Rodeo’ bagi merebut Piala Ketua Polis Perlis.
Pertandingan yang julung kali diadakan ini disertai oleh Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis JSPT dari keempat-empat formasi JSPT Kontinjen Perlis.
Ia bertujuan untuk menguji kemahiran dan kecekapan menunggang, mengendali dan mengawal motosikal berat. – JM