





Oleh: Sholina Osman
18 JAN. 2025
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sejumlah RM9,065,700 untuk Bantuan Persekolahan MAIPs Bagi Tahun 2025.
Jumlah tersebut akan disalurkan kepada 5,073 orang pelajar Sekolah Menengah, 38 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat, 7, 802 orang pelajar Sekolah Rendah dan 38 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Rakyat.
Pelajar terpilih akan menerima RM700 setiap seorang.
SIMBOLIK PENYERAHAN DISEMPURNAKAN
Kenyataan media MAIPs memaklumkan simbolik penyerahan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kepada Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dalam majlis yang diadakan di Surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam, Pauh Putra, Arau.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Exco Pendidikan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Hadir sama bagi menerima Cek Cura masing-masing ialah wakil-wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk Sekolah-Sekolah Agama, Majlis Guru Besar untuk Sekolah Rendah, dan Majlis Pengetua untuk Sekolah Menengah.
Titah Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua, MAIPs sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.
Justeru titah Baginda, saban tahun MAIPs akan menyalurkan Bantuan Persekolahan untuk dimanfaatkan oleh ribuan pelajar di seluruh negeri Perlis.
“Adalah diharapkan agar bantuan ini dapat memberikan semangat serta pemangkin kepada kecemerlangan anak-anak pelajar yang dikasihi,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menasihatkan agar, jadikanlah bantuan ini sebagai inspirasi untuk terus berusaha keras dan gunakanlah ia dengan sebaiknya.
“Jadilah generasi yang bersyukur dan membawa perubahan positif, bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan keluarga, masyarakat, agama, bangsa, negeri dan juga negara,” titah Baginda. – JM