






Oleh: Sholina Osman
18 JAN. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya Kampung Pauh Setia akan menjadi contoh kepada
kampung-kampung lain dengan menganjurkan lebih banyak
program yang bersifat kebudayaan dan penyerapan kebudayaan bersama dengan masyarakat lain.
Baginda berharap agar kampung ini akan menjadi contoh buat
masyarakat dan komuniti lain di negeri ini yang terus
menganjurkan pelbagai program yang meraikan kepelbagaian
budaya dan adat tanpa mengira bangsa.
“Beta amat berbesar hati dengan adanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Murid-Murid Tua S.R.J.K.(C) Sin Min dan NGO-NGO di Kampung Pauh Setia yang begitu aktif, agresif dan penuh komited dalam meraikan program ini dengan
penglibatan semua kaum,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan berangkat menyempurnakan Karnival Sambutan Tahun Baru Cina Kampung Pauh Setia di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh Setia.
Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
PENGANJURAN
Baginda bertitah selaras dengan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, diharap penganjuran program seumpama ini akan
menjadi salah satu pemangkin untuk mendidik semua lapisan
masyarakat agar memahami kebudayaan setiap kaum di
Negara Malaysia khususnya di Negeri Perlis.
Titah Baginda, Malaysia merupakan negara berbilang kaum yang
berjaya hidup secara aman dan harmoni.
“Amalan muafakat dan saling hormat-menghormati antara kaum telah menjadi tunjang
perpaduan di Malaysia dan ia juga menjadikan negara kita unik
dalam kelasnya yang tersendiri serta unggul di persada dunia, titah Baginda.
Baginda juga berkenan mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina Tahun 2025, Gong Xi Fa Cai.
Bagi anak Perlis yang berada luar negeri Perlis dan akan pulang ke kampung halaman, pandu dengan berhemah dan hati-hati di jalan raya. – JM