Peniaga ubahsuai tempat duduk belakang kereta letak barang tidak bercukai

Oleh: Sholina Osman
17 JAN. 2025

Peniaga pekan sehari yang licik. Mana tidaknya hanya selepas enam tahun baharu perbuatannya berjaya dikesan.

Selama ini dia hanya mengisytiharkan cukai barangan yang dibeli selepas memasuki Thailand berdasarkan yang diletakkan di dalam bonet kereta sahaja.

Bagaimanapun kata Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim perbuatan lelaki berusia 51 tahun ini akhirnya berjaya dibongkar.

MENAHAN DAN MEMERIKSA

“Pada pukul 4 petang, 1 Januari 2025, di Laluan Import, Unit Pemeriksaan Rapi, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pasukan Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar telah menahan dan memeriksa sebuah kenderaan jenis Proton Saga bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu lelaki berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah barangan peralatan dapur dan barangan keperluan harian yang telah dibayar cukai diletakkan di dalam bonet kenderaaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan telah menjumpai sejumlah peralatan dapur, ubat-ubatan dan kosmetik disyaki tak berkastam telah disembunyikan di ruang bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang yang telah diubahsuai,” katanya.

KESEMUA BARANG KES

Beliau berkata, kesemua barang kes berjumlah 412 unit yang dianggarkan bernilai RM695 serta melibatkan cukai RM151.00.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (g) Akta Kastam 1967.

Jelas Ismail, sekalipun cukai RM151.00 nampak kecil tetapi apabila dilakukan secara berulang kali pastinya akan berganda dan merugikan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *