Kastam Perlis rampas ganja bernilai RM275,900.00 ditinggal di perdu pokok bakau

Oleh: Sholina Osman
17 JAN. 2025

Tektik penyeludup meninggalkan guni berisi dadah jenis ganja seberat 89.481 kilogram yang bernilai RM275,900.00 di perdu pokok bakau di Kuala Perlis telah berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.

Jika dadah ini sempat diambil oleh individu terbabit, dianggar ia akan digunakan oleh 447,405 penagih setelah dipasarkan sekitar negeri di Utara dan Lembah Klang.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim apabila sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis membuat pemeriksaan di kawasan hutan paya bakau di Perairan Bukit Putih, Kuala Perlis pukul 3.30 petang, 6 Januari 2025.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan berkenaan menjumpai empat bungkusan guni berwarna putih yang ditinggalkan di dalam hutan paya berkenaan.

89 KETULAN MAMPAT

“Di dalam guni berkenaan dijumpai 89 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 89.481 kilogram bernilai RM275,900.00,” katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis.

Beliau berkata, pihaknya menunggu selama 30 minit kerana ia dipercayai akan diambil oleh individu lain.

Ismail berkata, selepas itu pihaknya terpaksa mengambil guni berkenaan kerana air sudah mula memasuki ke dalam guni berkenaan.

Ismail berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1953. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *