PMX lancar blok baharu KPJ Penang Specialist Hospital

Oleh: Sholina Osman
12 JAN. 2025

PULAU PINANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan blok baharu KPJ Penang Specialist Hospital di Bukit Mertajam.

Pelancaran ini bukan sahaja menjadi satu mercu tanda penting bagi KPJ Healthcare Berhad tetapi juga bagi sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Saya dimaklumkan blok baharu ini dilengkapi dengan teknologi canggih seperti Krioterapi Cryo-7 dan Pemulihan Robotik Tangan, yang pastinya meningkatkan keupayaan hospital ini dalam memberikan rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat,” katanya dalam perkongsian di FB miliknya.

PENINGKATAN KAPASITI KATIL

Beliau berkata, peningkatan kapasiti katil daripada 193 kepada 319 membolehkan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang menampung lebih ramai pesakit, memastikan rawatan diberikan dengan lebih cekap dan tepat pada masanya.

“Dengan langkah proaktif seperti memperluaskan latihan bahasa isyarat dan memperkenalkan istilah penjagaan kesihatan khusus, KPJ Penang terus mengukuhkan komitmennya untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Selain itu, katanya, KPJ juga mesti memikirkan penyediaan bekalan tenaga alternatif seperti bekalan solar agar kos tenaga dapat dikurangkan lantas kos rawatan juga boleh berkurang dan tidak membebankan pesakit.

DIUMUMKAN TAHUN LALU

“Saya turut tekankan betapa peruntukan melalui Belanjawan yang diumumkan tahun lalu yang tertinggi adalah kepada pendidikan dan kesihatan, dan Kerajaan ingin memberi sepenuh tumpuan kepada dua aspek yang memberi kesan kepada rakyat terbanyak ini sebaiknya,”

“Saya turut menekankan terutamanya kepada KPJ untuk memberi tumpuan kepada para staf dan pekerja di peringkat bawah termasuk tukang cuci dan sebagainya agar jamin gaji dan bayaran upah yang munasabah,” tambahnya.

Anwar berkata, sekiranya keuntungan itu berlipat ganda, maka tidak munasabah untuk para pekerja dan staf kita diberi gaji yang tidak setimpal.

KEUNTUNGAN SEHARUSNYA DIPULANGKAN

Katanya, sebahagian dari keuntungan seharusnya dipulangkan balik kepada mereka.

“Tahniah kepada pasukan KPJ Healthcare atas usaha berterusan mereka dalam menambahbaik perkhidmatan kesihatan, mendukung pelancongan kesihatan, dan memperkukuh ekonomi negara,” kata Anwar.

Anwar berharap semoga dengan pencapaian ini terus memberikan manfaat besar kepada rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *