


Oleh: Sholina Osman
12 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia petang ini berangkat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW).
Anwar berkata, ia atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
“Semasa lawatan ini juga, saya akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, dan rakan sejawat, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum,” kata Anwar dalam hantaran FB miliknya.
BERLEPAS KE LONDON
Jelasnya, Usai lawatan kerja di UAE, beliau akan berlepas ke London, United Kingdom sebagai usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara termasuk pertemuan dengan rakan sejawat Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
“Saya kemudiannya akan ke Brussels, Belgium untuk menghadiri beberapa agenda penting termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo selain sesi bersama Presiden Majlis Eropah Antonio Costa,” katanya.
Usai rencana di Brussels, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
PLATFORM INI PENTING
“Pastinya platform ini penting dalam membahaskan pelbagai isu dunia antaranya ketidaktentuan perubahan iklim, kepesatan inovasi dalam kecerdasan pembuatan dan kepantasan teknologi,” katanya.
Perdana Menteri mohon dititipkan doa agar perjalanan beliau dan delegasi Malaysia dipermudah selain kesemua perancangan yang diatur mendapat keberkahan lantas membawa hasil yang besar kepada rakyat dan negara, Insya-Allah. – JM