Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan UUM
9 JAN. 2025
Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak telah mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Komunikasi Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Kenyataan media UUM memaklumkan lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar-tukar pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang komunikasi korporat antara kedua-dua institusi.
Rombongan dari UPSI yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Media) BKK UPSI Prof Madya Dr Ghazali Din ini disambut oleh Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari Che Mohamed Ariff bersama-sama staf lain.
DENGAN SESI TAKLIMAT
Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat mengenai struktur organisasi, strategi komunikasi, dan pendekatan inovatif yang diamalkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat UUM.
Sepanjang sesi tersebut, beberapa topik utama dibincangkan termasuklah pengurusan media, pengendalian krisis, strategi pemasaran digital, dan peranan komunikasi korporat dalam meningkatkan reputasi institusi.
Kedua-dua pihak turut berkongsi pengalaman berkenaan cabaran serta penyelesaian dalam menyampaikan mesej kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pelajar, kakitangan, dan masyarakat umum.
MELIHAT SECARA LANGSUNG
Sesi lawatan delegasi ini termasuk ke Anjung Tamu, Unifilm Studio, U-Assist dan sekitar kampus selain dari melihat secara langsung teknologi dan infrastruktur terkini yang digunakan oleh UUM dalam melaksanakan tugas komunikasi korporat.
Sementara itu Timbalan Pengarah (Media) BKK UPSI, Dr Ghazali ketika ditemui berkata, lawatan ini sangat bermakna dan dapat diaplikasikan secara bersama nanti.
Dalam pada itu Ketua Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari yang ditemui turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menjalin kerjasama dengan UPSI.
MAMPU MEMPERKUKUH HUBUNGAN
“Kami percaya pertukaran idea dan pengalaman seperti ini mampu memperkukuhkan hubungan antara universiti serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mencapai kecemerlangan institusi masing-masing,” tambah beliau.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata sebagai simbolik penghargaan dan kenangan antara kedua-dua institusi.
Dengan adanya lawatan seperti ini, kedua-dua universiti berharap dapat memperkukuh hubungan strategik serta terus bersama-sama menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia. – JM