Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
9 JAN. 2025
Umat Islam perlu saling sayang menyayangi sesama saudara seagama, serta menghormati perbezaan yang ada pada masing-masing, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, hanya dengan saling memahami dan memberi ruang kepada perbezaan, kita dapat membina masyarakat yang lebih harmoni dan diberkati.
Kenyatan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berangkat menyantuni dan menyempurnakan Majlis Ramah Mesra MAIPs Bersama Masyarakat Ban Hinsyang di Masjid Al-Islafiah, Ban Hinsyang, Ranong, Thailand.
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Imam Masjid berkenaan, Ali Abdul Latif yang mewakili masyarakat setempat.
MENGIRINGI BAGINDA BERDUA
Turut mengiringi Baginda berdua ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs Bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan.
Raja Muda bertitah, bahawa Kampung Baan Hinsyang yang dikunjungi kali ini amat istimewa kerana penduduknya tidak hanya kukuh dalam pegangan agama, tetapi juga sangat menghargai nilai-nilai kemanusiaan dan kebersamaan.
Baginda gembira melihat masyarakat di sini hidup dalam suasana yang penuh dengan rasa kekitaan, saling bantu-membantu, aman damai dan menjaga kebajikan antara satu sama lain.
SEBAGAI CONTOH TELADAN
“Semangat gotong-royong yang diamalkan di kalangan masyarakat di sini menjadikan kampung ini sebagai contoh teladan yang baik dalam membina komuniti yang kuat, mesra dan harmoni,” titah Baginda.
Majlis ramah mesra ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah dan silaturahim antara penduduk kampung khususnya kepimpinan dan masyarakat setempat serta mengukuhkan lagi hubungan baik negeri Perlis dengan Wilayah Ranong.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs sebanyak RM5000 kepada Masjid Al-Islafiah bagi kegunaan sebarang penganjuran aktiviti keagamaan dan penambahbaikan masjid tersebut.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah pula berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada anak-anak yatim dan asnaf yang terpilih dan setiap seorang menerima wang tunai sebanyak RM150. – JM