Oleh: Sholina Osman
10 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memudah cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah yang dihadapi oleh pelabur.
Beliau berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan amat strategik dalam ekosistem semikonduktor dan kecerdasan buatan global.
“Dalam mengukuhkan daya tarikan negara dalam pelbagai sektor ekonomi, usaha giat dilaksanakan seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional,” katanya dalam perkongsian FB miliknya.
MENERIMA KUNJUNGAN HORMAT
Sebelum itu, beliau menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Micron Technology Inc. (Micron), Datuk Sanjay Mehrotra.
Micron adalah sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang merupakan peneraju dalam penyelesaian memori inovatif yang mengubah cara dunia menggunakan maklumat.
“Kami telah bertukar pandangan mengenai keperluan-keperluan utama dalam pembangunan industri semikonduktor di Malaysia,” katanya.
Turut disentuh adalah kepentingan pembangunan bakat tempatan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kelancaran operasi kilang-kilang berteknologi tinggi di Malaysia. – JM