Oleh: Sholina Osman
11 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kekal menjadi tunjang kepada asas negara ini dan mesti diberi tumpuan sepenuhnya.
Namun demikian katanya, ia tidak bermakna bahawa bahasa lain dikesampingkan kerana kerencaman dan kepelbagaian kaum dan agama.
“Bahasa yang wujud di Malaysia mesti terus diraikan dan menjadi sumber dan nadi perpaduan di kalangan rakyat,” katanya dalam perkongsian di FB.
SAMBIL MENGIMBAU KENANGAN
Anwar menceritakan bahawa beliau pulang semula ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin hari ini sambil mengimbau kenangan menjadi guru sandaran Bahasa Melayu.
“Saya sempat menyanyikan lagu sekolah bersama warga sekolah yang saya masih hafal rangkap pertama liriknya,” katanya.
Dalam ucaptama, saya menyentuh tentang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan perkembangan industri teknologi hijau di rantau ini.
TIDAK TERUS KETINGGALAN
“Saya mahu pelajar dan anak-anak untuk tidak terus ketinggalan dan mesti berusaha lebih gigih merangkul peluang yang wujud dalam meneroka pelbagai disiplin dan industri yang kini menjadi tuntutan zaman,” katanya.
Saya turut juga mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada hujung bulan ini kepada semua yang hadir.
Di akhir ucapan, saya telah mengumumkan penyaluran bantuan kepada 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina sebanyak RM20.16 juta dan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin agar mutu pendidikan di sekolah-sekolah terus ditambahbaik demi generasi akan datang. – JM