Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2025
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan Prof. Dr. Mohd Shafry
Mohd Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang
baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Januari 2025.
Kenyataan media KPT juga memaklumkan bahawa Prof. Dr. Yatimah Alias dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tempoh yang sama berkuat kuasa 13 Januari 2025.
Prof. Dr. Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra
Malaysia (UPM) pada tahun 2008.
MEMEGANG PELBAGAI JAWATAN
Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya sebagai Timbalan Dekan (Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM (2015); Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM (2019); Pengerusi Institute for Life Ready Graduates
(iLeaGue) UTM (2020); serta merupakan Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of
Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN) UTM sebelum
dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada 2023.
Prof. Dr. Yatimah, 55, pula merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022.
Beliau memiliki Ijazah Doktor
Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia pada tahun 1999 dan
merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids.
Pelantikan beliau sebagai
Naib Canselor UMPSA adalah berdasarkan kepada reputasi akademik yang diiktiraf serta
pengalaman luas yang dimiliki dalam pengurusan pentadbiran di UM.
DILANTIK SEBAGAI PENGARAH
Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018); dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022.
Kementerian yakin pelantikan mereka ini akan memperkasakan pembangunan akademik dan
penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat tersedia industri, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua mantan Naib Canselor UTM dan UMPSA iaitu Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Dato’ Prof. Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin
atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA sebelum ini. – JM