Raja Muda Perlis bertemu dengan Syeikhul Islam Thailand

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs

8 JAN. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Menteri Cularaja atau Syeikhul Islam Thailand, Syeikh Arun Boonchom Muhammad Jalaluddin Hussin di Masjid Kamalulislam, Khlong Sam Wa, Bangkok.

Beliau yang juga Chularatchamontri atau Chula Rajamontri ialah Ketua Hal Ehwal Islam dan para penganutnya di Negara Thai selaku Mufti pemberi nasihat utama mengenai bidang agama kepada kerajaan terutamanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan negara tersebut.

Ia mempunyai sejarah yang panjang sejak zaman Ayutthaya hingga kini.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Baginda berdua disambut oleh Imam dan Ketua Majlis Agama Islam Bangkok, Syeikh Samai Charoenchang.

PROGRAM ZIARAH MAHABBAH

Menurut kenyataan media MAIPs, pertemuan ini adalah sebahagian daripada program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di Bangkok dan Ranong, Thailand.

Dalam ucapan alu-aluannya, Syeikh Arun berkata, pertemuan ini terus memperkukuhkan lagi hubungan baik antara negeri Perlis dan Thailand.

Beliau juga memaklumkan bahawa kebanyakan penduduk di kawasan sekitar masjid yang dikunjungi Baginda tersebut mempunyai hubungan sejarah yang berketurunan asal dari Perlis dan Kedah yang memperkuatkan lagi silatulrahim dan keakraban antara masyarakat setempat dengan delegasi dari Perlis ini.

PERKONGSIAN DAN PERBINCANGAN

Menurut beliau, lawatan kerja ini juga bertepatan dengan falsafah Ummatan Wahidah perkongsian dan perbincangan di dalam pelbagai bidang iaitu kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan khususnya peluang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan kebudayaan demi manfaat umat Islam.

Di majlis tersebut Raja Muda turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada Masjid Kamalulislam sebanyak RM2000 yang akan digunakan bagi sebarang aktiviti keagamaan dan mengimarahkan masjid tersebut.

Tuanku Lailaitul Shahreen Akashah pula turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada 50 anak yatim terpilih. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *