Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis lawat Imagineering iMake Innovation di Bangkok

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
8 JAN. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Imagineering iMake Innovation yang beroperasi di MBK Center Building, Bangkok, Thailand.

Turut mengiring adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan CEO MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dalam sesi taklimat oleh CEO Pendidikan Imagineering iMake Innovation, Sumitra Nimkornchai memaklumkan kepada Baginda berdua bahawa iMake Innovation merupakan rakan strategik FCoEE yang bernaung di bawah MAIPs dalam bidang pendidikan AI dan Robotik yang mempunyai kepakaran dan mempelopori bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai sektor termasuk universiti, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam Pengetahuan dan Kemahiran Asas AI, Analitis Data dan AI, AI dan IoT Edge AI, Robotik AI dan Web serta Aplikasi.

INSTITUT KEMAHIRAN DIGITAL

iMake Innovation Thailand merupakan sebuah Institut Kemahiran Digital dan Pembangunan Teknologi yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah kursus dalam talian, penasihat kepada agensi dan organisasi serta bekerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa merangkumi pebagai projek yang beroperasi di Bangkok secara khususnya dan Thailand secara amnya.

Syarikat ini ditubuhkan bagi merapatkan jurang dan berfokuskan pembangunan tenaga kerja yang berkesan seperti Kepentingan Pendidikan dan Pasaran Pekerjaan, Kualiti dan Sumber Pendidikan, Digital dan Kemahiran Insaniah, Persepsi Pendidikan Vokasional, Mekanisme ‘Upskills and Reskills’.

SEMPENA LAWATAN KERJA

Sementara itu, Kamarudin berkongsi bahawa keberangkatan Raja Muda dan Raja Puan Muda ke iMake sempena lawatan kerja ini membuktikan komitmen Baginda berdua dan memberi dorongan kepada pihak FCoEE untuk memperkukuhkan lagi jaringan pengantarabangsaan dengan iMake dalam bidang teknologi AI dan Robotik seterusnya bagi memperkenalkan program-program kerjasama FCoEE dan iMake, mengetengahkan idea kolaborasi dalam bidang AI dan Robotik untuk dilaksanakan di Perlis dan memperkenalkan idea serta konsep Learning Hub yang memberi impak kepada para pelajar yang terlibat.

Tambah beliau, kerjasama merentasi negara ini juga bertujuan untuk menarik minat generasi dan pelajar di Perlis terhadap bidang robotik dan AI melalui penganjuran pelbagai pertandingan rekacipta, serta mewujudkan ruang pembelajaran yang menarik, silibus yang komprehensif, dan bengkel dengan reka bentuk ruang yang fleksibel. Kerjasama ini diharapkan dapat memupuk pendidikan teknologi dan pembangunan kreativiti selaras dengan kemajuan semasa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *