Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penegasan dan cabaran kepada ketua-ketua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan-cadangan bernas untuk pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Sebagai platform tertinggi yang mengangkat agenda Bumiputera sebagai agenda nasional, MEB berperanan sebagai platform utama dalam memastikan segala perancangan yang direncanakan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dipantau keberkesanan pelaksanaannya,” katanya yang dipetik dari hantaran FB rasmi miliknya.
Anwar berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2025 di Komleks Perdana Putera, hari ini.
KERTAS-KERTAS TERKAIT
Katanya, dalam mesyuarat itu telah membincangkan kertas-kertas terkait pemerkasaan syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan melalui Program mySTI dan halatuju pelaksanaan Wakaf MARA MADANI.
Sebagai makluman, Program MySTI merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh pengkomersialan hasil R&D teknologi dan inovasi tempatan.
Inisiatif Dana Uji Beli (DUB) dan Dana Mudahcara (DMM) oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap inisiatif MySTI yang menyediakan pembiayaan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk menguji, memperkembang, dan mengkomersialkan produk berasaskan teknologi tempatan.
Barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan melalui program MySTI akan diberi penandaan logo dan sijil MySTI, serta diberi keutamaan dalam perolehan Kerajaan bagi memacu inovasi dan membina masa depan teknologi yang lebih mampan untuk Malaysia. – JM