MCMC terima 4,699 permohonan untuk diturunkan kandungannya – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima sejumlah 4,699 permohonan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan dan perjudian di media sosial dalam tempoh tujuh hari sejak 1 Januari lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia melibatkan 72 peratus berkaitan dengan isu judi dalam talian (online) dan 14 peratus adalah hantaran yang berunsurkan penipuan atau scam.

“MCMC akan terus memantau dan mengawal selia “posting” yang dianggap haram,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), di Grant Hyatt, Kuala Lumpur.

Fahmi turut merasmikan robot kecerdasan buatan Malaysia yang diberi nama Ahmad.

IRC 2025, anjuran MCMC telah dianjurkan buat kali kedua dalam tempoh dua tahun dengan tema ‘l”Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era”.

Sidang ini, yang berlangsung selama dua hari, menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar, dan pakar global dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat, Arab Saudi, dan negara-negara lain.

MCMC BERJAYA MENYEKAT

Semasa berucap, Fahmi berkata, MCMC berjaya menyekat lebih 3.1 billion panggilan scam dan memproses hampir 12,000 aduan pada 2024.

“Perkara itu adalah satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat,” katanya.

Fahmi berkata, IRC 2025 adalah antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau ASEAN bagi menetapkan piawaian digital secara bersama dan memupuk inovasi.

Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia katanya berhasrat memimpin pembangunan dasar serantau yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan akses teknologi yang saksama bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing di peringkat global.

MENGEKANG ANCAMAN PENIPUAN

Fahmi berkata, kerajaan juga sedang berusaha untuk mengekang ancaman penipuan yang melibatkan penyebaran video dan imej palsu atau “deepfake” yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, antara langkah yang telah diambil ialah pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang telah diluluskan pada Disember 2024.

Katanya, usaha menangani masalah penipuan “deepfake” AI akan diteruskan termasuk segi perundangan, beberapa perkara telah dibawa ke Parlimen, dan kerjasama dengan platform pengendali media sosial juga berjalan dengan lancar.

“Selepas ini, beberapa bengkel akan diadakan antara MCMC dan platform-platform tersebut untuk meneliti tindakan segera yang boleh diambil serta langkah-langkah jangka panjang untuk menangani masalah ini secara menyeluruh,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *