Malaysia sasar 35.6 juta pelancong, jana pendapatan RM147.1 bilion sempena VM2026- Anwar

Oleh: Sholina Osman
6 JAN. 2025

Malaysia menyasarkan kunjungan 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan RM147.1 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia (VM2026).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dijangka mampu merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Berikutan itu katanya kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai negara yang lestari dan harmoni dari segi budaya, pendekatan dengan asas kebudayaan yang kukuh, sangat pelbagai, kita telah bersifat sangat inklusif.

“Sebab itu apabila saya dengar tema ‘Malaysia yang unik, kenek-kenek udang’ ini, saya rasa ia sangat unik maka ia akan dihargai dan diingati oleh rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda,” katanya ketika meluncurkan VM2026 dengan pengenalan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas di Sepang, Selangor.

MELAMBANGKAN BUDAYA MALAYSIA

Logo VM2026 melambangkan budaya Malaysia yang kaya, keindahan semula jadi dan daya tarikan global, menjadi simbol visual kesediaan negara untuk menyambut pelancong dari seluruh dunia.

Lagu tema bertajuk ‘Surreal Experiences’ turut dilancarkan untuk mempromosikan daya tarikan unik Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Beruang Matahari Malaya, spesies terancam yang menjadi kebanggaan negara, dipilih sebagai ikon rasmi kempen ini.

MASKOT INI DIREKA

Diperkenalkan dalam bentuk animasi yang comel, maskot ini direka untuk menarik perhatian semua peringkat umur, melambangkan kehangatan dan keceriaan, serta menonjolkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Anwar berkata, lagu tema VM2026 jugq cukup inklusif, merangkumi semua daerah dan negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kuasa autonomi masing-masing.

Jelasnya, dengan adanya program ini, kita berusaha memastikan setiap negeri tanpa pengecualian bersedia menjadi destinasi pelancongan utama tahun ini dan pada masa hadapan.

“Saya juga meminta semua kementerian memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pelaburan ekonomi supaya tiada negeri yang tersisih atau tertinggal,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *