KDN laksana Minit Mesyuarat dan Perintah Pelaksanaan Keputusan – Saifuddin

Oleh: Sholina Osman
6 JAN. 2024

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan bahawa telah melaksanakan dua perkara iaitu Minit Mesyuarat dan Perintah Pelaksanaan Keputusan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekaligus tuduhan yang mengatakan bahawa KDN tidak melaksanakan dua perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, Minit Mesyuarat ini merekodkan perbincangan dan keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

UNTUK MELAKSANAKAN KEPUTUSAN

“Perintah Pelaksanaan Keputusan ini adalah arahan rasmi untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan dan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan, iaitu DYMM Tuanku Agong ketika itu (Tuanku Sultan Pahang), serta disaksikan oleh seorang pegawai, Dr Zaliha Mustafa,” katanya pada Sidang Media Khas KDN di Putrajaya hari ini berkaitan isu keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Pahang telah bersidang pada 29 Januari 2024.

Pada 2 Februari 2024, Jabatan Penjara menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.

MENGANDUNGI DUA PERKARA

Saifuddin berkata, surat tersebut mengandungi dua perkara iaitu pertama Minit Mesyuarat dan
Perintah Pelaksanaan Keputusan.

Beliau berkata, dalam perintah tersebut, dua keputusan utama dinyatakan iaitu pertama, tempoh pemenjaraan Najib dikurangkan sehingga 23 Ogos 2028.

Katanya, kedua pula denda telah dikurangkan kepada RM50 juta, dengan syarat sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara ditambah setahun sehingga 23 Ogos 2029.

MENGENAI TAHANAN RUMAH

Saifuddin menjelaskan berhubung Perkara Mengenai Tahanan Rumah pula surat tersebut tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.

Oleh itu katanya, Jabatan Penjara hanya melaksanakan apa yang terkandung dalam perintah tersebut.

Saifuddin berkata, adalah penting untuk menjelaskan bahawa KDN dan Jabatan Penjara tidak menyembunyikan sebarang keputusan Lembaga Pengampunan atau gagal mematuhinya.

“Kami hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi, seperti yang diterima,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *