Oleh: Sholina Osman
31 DIS. 2024
Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa terdapat satu kes kematian tahanan reman semasa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 12 Disember 2024.
Kenyataan media Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan kematian ini akibat pendarahan dalaman di bahagian kepala.
Prospek merupakan tahanan
reman berumur 32 tahun dan telah diterima masuk ke Penjara Pengkalan
Chepa, Kota Bharu atas kesalahan di bawah Seksyen 379 (KK) dan
Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tiada masalah
kesihatan di kesan.
KES KEMATIAN TAHANAN
Satu laporan polis telah dibuat berkaitan kes kematian tahanan reman ini oleh Pegawai Penjara bertugas.
Berdasarkan laporan oleh Pegawai Perubatan dan siasatan Pegawai Penjara, Hakim Koroner telah
mengesahkan punca kematian dan pihak keluarga prospek berpuas hati
dengan keterangan yang diberikan seterusnya jenazah diserahkan
kepada waris untuk dikebumikan.
SATU LAPORAN POLIS
Pada 16 Disember 2024, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga
prospek berkaitan punca kematian prospek.
Jabatan Penjara Malaysia akan
memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk sebarang siasatan yang
dilaksanakan.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Penjara Malaysia memohon kerjasama daripada orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut. – JM