Oleh: Sholina Osman
1 JAN. 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan penggunaan Kod QR mulai Januari 2025 sebagai tempoh percubaan untuk kelancaran sistem pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kod QR ini ditempatkan di 40 lorong khas khusus buat warga Malaysia di kawasan ketibaan dan pelepasan (arrival and departure) Terminal 1 dan 2 KLIA.
“Antara kelebihan pelepasan imigresen menggunakan Kod QR ini apabila ia hanya mengambil masa
5 hingga 7 saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan kaedah autogate konvensional dan
seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk terutama di waktu puncak,” katanya dalam kenyataan media.
DAPAT MENINGKATKAN KESELAMATAN
Saifuddin berkata, ia juga dapat meningkatkan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan melalui penggunaan teknologi terkini
serta mengurangkan ketirisan.
“Melalui sistem Kod QR ini, pengembara tidak lagi perlu
mengeluarkan buku pasport semasa pelepasan imigresen,” tambahnya.
Namun katanya, mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa buku
pasport di sepanjang perjalanan.
Saiffudin menambah, meskipun pelepasan imigresen menggunakan Kod QR ini telah diperkenalkan, kemudahan kaunter manual dan sistem autogate konvensional akan terus tersedia dan masih boleh digunakan seperti biasa.
PROSES PELEPASAN IMIGRESEN
Saifuddin berkata, pada masa ini, proses pelepasan imigresen di KLIA masih bergantung kepada kaunter manual dan sistem autogate yang
mempunyai kemampuan terbatas.
Beliau berkata, walaupun autogate telah diperkenalkan untuk mempercepatkan pelepasan imigresen, kecekapan autogate masih lagi menjadi isu utama yang
menyebabkan kaunter manual terus menjadi pilihan.
Tambahnya, isu kesesakan yang sering berlaku di pintu-pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim cuti
sering kali menjadi perhatian pelbagai pihak. – JM