Empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet, media sosial mohon lesen operasi di Malaysia

Oleh: Sholina Osman
1 JAN. 2025

Empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di
Malaysia.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) memaklumkan Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi
(ASP(C)), menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama
dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka.

Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

UNTUK MEMPEROLEH LESEN

Manakala Meta, yang menyelia
Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk
memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam
negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC.

Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna
yang disyaratkan.

Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah
pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X.

BEBERAPA PERKARA DIBANGKITKAN

Berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri
perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.

MCMC telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas
mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka
Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.

MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MELANGGAR KEPERLUAN PELESENAN

Penyedia platform yang didapati
melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.

Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah
baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.

MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.

Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *