Oleh: Sholina Osman
31 DIS. 2024
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul telah mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan mengadakan pertemuan
dua hala dengan rakan sejawatnya, Speaker Majlis Syura Kerajaan Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah bin
Mohammed bin Ibrahim Al Sheikh,
Kenyataan media Parlimen Malaysia memaklumkan pertemuan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan mempererat kerjasama antara Parlimen Malaysia dan Majlis Syura Arab Saudi.
Perbincangan tertumpu kepada kepentingan mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, dan pertukaran budaya,
selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memperkasa kerjasama di peringkat global dan rantau.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut mengambil kesempatan dalam pertemuan ini untuk membincangkan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun 2025.
UNTUK MEMPERKUKUH KERJASAMA
Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara sahabat, termasuk Arab Saudi, dalam menjayakan kepengerusian ini dan memastikan ASEAN terus memainkan peranan strategik dalam menangani isu-isu serantau serta global.
“Malaysia melihat hubungan erat dengan Arab Saudi sebagai satu keutamaan dalam usaha memperkasa peranan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh dan sebagai suara yang menyatukan dunia Islam,” kata kenyataan media itu lagi.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat berharap kerjasama ini dapat membuka ruang kepada peluang baharu, terutamanya dalam memperkukuh daya tahan ekonomi,
keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan diplomasi serantau.
Dalam rangka lawatan ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut melawat Pameran Antarabangsa dan Muzium Biografi Nabi dan Tamadun Islam – sebuah inisiatif unik Kerajaan Arab Saudi yang memperkenalkan biografi Rasulullah SAW dan kegemilangan
tamadun Islam.
TAPAK WARISAN DUNIA
Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga berpeluang melawat At Turaif, tapak warisan dunia UNESCO di Ad Diriyah, yang merupakan ibu kota pertama Kerajaan Arab Saudi sehingga
tahun 1818.
Lawatan ini membuka ruang untuk memahami lebih mendalam sejarah
penempatan Bani Hanifah, yang membawa kepada penubuhan Diriyah dan seterusnya kelahiran Negara Saudi Pertama.
Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut mengadakan sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Riyadh.
Dalam sesi ini, beliau mendengar pandangan dan berkongsi perkembangan terkini negara, selain
menekankan peranan penting rakyat Malaysia di luar negara sebagai duta kecil yang membawa nama baik negara di peringkat antarabangsa.
AMAT BERBESAR HATI
“Saya amat berbesar hati dapat bertemu dengan diaspora Malaysia yang memainkan peranan penting dalam membina hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.
Sumbangan dan komitmen mereka bukan sahaja memperkukuh jaringan diplomatik, tetapi juga membantu membuka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor,” ujar beliau.
Lawatan rasmi ini melambangkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomasi dengan Kerajaan Arab Saudi, serta memperluaskan kerjasama
dalam pelbagai bidang yang dapat membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan umat Islam sejagat. JM