SHMMP Krismas: 74 kes dikesan tiada tanda harga khas merah jambu

Oleh: Sholina Osman
30 DIS. 2024

Sebanyak 74 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan 1 kes tiada tanda harga telah dihasilkan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM8,600 semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 dari 23 hingga 27 Disember 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Azman Adam berkata, di sepanjang pelaksanaan skim ini, sebanyak 2,748 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi premis runcit, borong dan pengeluar.

“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, tindakan undang-undang yang telah dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi sepenuhnya perundangan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media .

Azman berkata, Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama 5 hari dan berkuat kuasa 2 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan.

Sebanyak 9 jenis barangan yang dikawal harganya di Semenanjung Malaysia dan tambahan 4 barangan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta tambahan 5 barangan di Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan barang yang dikawal adalah sebanyak 14 jenis barangan berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024.

Kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024.

Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan skim ini.

KPDN juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024.

Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 telah berjalan dengan baik dan lancar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *