Pekhidmat MAIPs Sembah Ucapan Tahniah Sempena Hari Keputeraan Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
30 DIS. 2024

Warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sembah ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena Hari Keputeraan Baginda pada 30 Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Mohd Nazim Mohd Noor menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kepimpinan cemerlang serta teladan mulia yang ditunjukkan oleh Raja Muda sebagai Pengerusi MAIPs.

“Tuanku sentiasa menjadi inspirasi kepada warga MAIPs untuk terus melaksanakan tanggungjawab membantu asnaf dan golongan memerlukan di Perlis,” kata Mohd Nazim pada Perhimpunan Mingguan Pekhidmat MAIPs bersama pagi ini.

Mohd Nazim berkata, Raja Muda juga tidak pernah lelah turun padang menyantuni rakyat, khususnya melalui program-program seperti Kayuhan MAIPs Peduli.

MENGEKALKAN SIJIL BERSIH

Mohd. Nazim juga turut menyatakan bahawa tahun 2024 merupakan tahun yang penuh kejayaan bagi MAIPs, antaranya berjaya mengekalkan sijil bersih selama 12 tahun berturut-turut, menerima Anugerah RCE (Regional Centre of Expertise) daripada United Nations atas usaha berterusan dalam mempromosikan kelestarian pendidikan dan pembangunan mampan di negeri Perlis.

Kejayaan lain apabila disenaraikan dalam pencalonan beberapa anugerah atas pelaksanaan Program Transformasi Diraja di Kampung Warna-Warni.

Kepimpinan cemerlang Raja Muda turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, dan tidak hairan apabila Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, turut menghasilkan sebuah kajian khas berkaitan peranan kepimpinan diraja melalui pengurusan zakat.

“Kajian ini memberikan pandangan bernas dan memperkukuhkan kefahaman tentang bagaimana institusi diraja mampu menjadi pemangkin dalam memastikan keberkesanan pengurusan zakat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan asnaf,” kata Mohd Nazim.

Menurut Mohd Nazim, kepimpinan berkesan Raja Muda tidak lain adalah hasil didikan dan bimbingan langsung oleh Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis. Baginda berdua telah mencorakkan nilai-nilai keprihatinan, kebijaksanaan, dan kesungguhan untuk sentiasa mendahulukan rakyat.

DIWARISI PUTERA PUTERI

“Semoga nilai-nilai kepimpinan yang mulia ini terus mengalir dan diwarisi putera puteri Raja Muda dan Raja Puan Muda, menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengekalkan tradisi kecemerlangan dalam memimpin dan membela rakyat,” tambahnya.

Sempena Hari Keputeraan Baginda tahun ini, MAIPs melalui Podcast Salasilah Perlis turut menyediakan satu bingkisan istimewa yang menampilkan Dr. Hazman Hassan, Timbalan Yang DiPertua MAIPs, dan Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.

Mereka akan mengupas tajuk menarik, “Anak Raja Perlis di Persada Dunia: DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail”, yang akan disiarkan pada Selasa, 31 Disember 2024, pukul 9.30 malam menerusi Facebook (FB) Live Podcast Salasilah Perlis.

Sempena hari yang penuh bermakna ini, seluruh warga MAIPs turut berdoa agar Raja Muda Perlis dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang panjang, serta kebijaksanaan untuk terus memimpin negeri Perlis ke arah kecemerlangan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dikenali sebagai seorang Raja Muda yang sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat, terutamanya dalam memperkasakan institusi Agama Islam dan pendidikan di negeri ini.

Kepimpinan Baginda telah membawa pelbagai perubahan positif dalam usaha MAIPs menjadikan Perlis negeri contoh dalam pengurusan hal ehwal agama Islam.

Selamat menyambut Hari Keputeraan, Tuanku. Dirgahayu Tuanku!

Jendela MADANI juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Keputeraan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *