

Oleh: Sholina Osman
28 DIS 2024
Semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) menyebut bahawa ia adalah mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
Oleh itu, katanya, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
Lenbaga Pengampunan ini yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
UNTUK MEMBERI AMPUN
Kenyataan itu turut memaklumkan ia adalah berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang. – JM