JPJ tingkat penguatkuasaan secara digital, kaji guna AI kesan pesalah trafik

Oleh: Sholina Osman
28 DIS. 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan dengan mempertingkatkan penguatkuasaan secara digital dan mengkaji penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam penguatkuasaan bagi mengesan pesalah trafik dengan lebih efektif.

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, dengan penggunaan teknologi ini, JPJ dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan meminimumkan kesalahan yang berlaku.

Jelasnya, JPJ juga akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan yang mengakibatkan risiko kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.

“Keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami, dan kami berusaha untuk memastikan bahawa semua pihak yang menggunakan jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media.

PEMERIKSAAN SECARA BERTERUSAN

Aedy Fadly berkata, pegawai penguatkuasa akan meningkatkan pemeriksaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik, terutamanya di lebuh raya dan kawasan dengan kadar kemalangan tinggi.

Selain itu katanya, JPJ juga akan melancarkan kempen kesedaran awam secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, program ini akan mensasarkan golongan pemandu muda dan berisiko tinggi, dengan fokus pada aspek keselamatan seperti pemakaian tali pinggang keledar, kelajuan selamat, dan tingkah laku yang bertanggungjawab di jalan raya.

“JPJ juga bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di seluruh negara serta memastikan bahawa semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan,” katanya

KESELAMATAN YANG KETAT

Aedy Fadly berkata, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan keselamatan yang ketat akan diteruskan, terutamanya untuk kenderaan awam dan komersial.

Katanya, JPJ terus berusaha memperkukuh kerjasama dengan syarikat pengangkutan dan persatuan industri untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

“Dengan langkah-langkah yang lebih ketat terhadap kenderaan komersial, seperti bas dan lori, kami berharap dapat mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan besar di jalan raya,” tambahnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *