Oleh: Sholina Osman
27 DIS. 2024
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching melawat ke kediaman pelawak veteran, Sathia Periasamy, 60, yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Sathiya.
Kenyataan media Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan
lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Komunikasi yang bertujuan membantu penggiat seni yang memerlukan sokongan.
Pelakon yang pernah mencipta nama menerusi watak Ravi dalam sitkom popular “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” mengalami serangan angin ahmar sebanyak dua kali pada tahun ini, iaitu pada 16 Ogos dan 19 November 2024.
48 ORANG PENGGIAT
Hingga 26 Disember 2024, seramai 48 orang penggiat industri telah menerima manfaat daripada program Ziarah Seni MADANI FINAS, yang merupakan antara usaha FINAS untuk meringankan beban warga seni yang memerlukan bantuan, terutamanya dalam aspek kebajikan dan kesihatan.
Antara rakan strategik yang terlibat ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, Eco Marine Group of Companies, AHB Holdings Berhad, Angkasaraya Holdings Berhad dan PERKESO.
FINAS akan terus komited dalam memperkasakan program kebajikan demi kesejahteraan penggiat seni Malaysia.
Turut hadir Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi). – JM