Oleh: Sholina Osman
26 DIS. 2024
Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) terus mengorak langkah memperkasakan golongan asnaf di negeri ini melalui pelbagai program latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan sepanjang tahun 2024.
Sebanyak 12 program utama telah dilaksanakan, melibatkan 490 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Program ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan memperkukuh potensi ekonomi golongan asnaf, sekaligus membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka.
Antara program yang mendapat perhatian ialah Program Latihan Kemahiran Tinggi IR 4.0 dalam bidang kimpalan anjuran Welding Institute (TWI).
DENGAN PERSIJILAN ANTARABANGSA
Seramai 150 peserta telah menjalani latihan dalam bidang kimpalan dengan persijilan antarabangsa (CSWIP), manakala 25 lagi menyertai program “Zero to Hero” Welding 6G SMAW.
Dalam bidang automasi, Walta Centre of Excellence (WCOE) melatih 50 peserta, lengkap dengan modul teknologi industri semasa yang selari dengan Revolusi Industri 4.0. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menyumbang dengan melatih 60 peserta dalam program TVET untuk memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional golongan asnaf.
Selain itu, ATAM turut memberi tumpuan kepada teknologi baharu seperti drone piloting dan maintenance, yang melibatkan 30 peserta di bawah bimbingan Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC).
BIDANG INSULASI PAIP
Sektor maritim dan minyak dan gas juga tidak ketinggalan, dengan 70 peserta menerima latihan dalam bidang insulasi paip gas, rigger fitter, dan seni kulinari di bawah program anjuran Ranaco Marine Sdn Bhd.
Satu lagi inisiatif penting adalah kerjasama dengan Syarikat Panasonic Malaysia, yang menawarkan 50 peluang pekerjaan kepada peserta program.
Langkah ini selari dengan seruan Raja Muda Perlis agar setiap program bukan hanya melatih tetapi juga memastikan penempatan pekerjaan untuk golongan asnaf.
MENCERMINKAN KOMITMEN MAIPs
Program-program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi juga mencerminkan komitmen MAIPs untuk memperkukuhkan sosioekonomi komuniti asnaf di negeri Perlis.
ATAM kini bersedia untuk meneruskan usaha dalam meningkatkan taraf hidup asnaf, sekaligus menjadikan mereka individu yang berdaya saing dalam arus pembangunan negara.
Demikian menurut kenyataan MAIPs dipersembah maklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas Baginda berkenan berangkat menghadiri program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Nurul Hamim Kechor, Kangar.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian bantuan agihan zakat MAIPs kepada 20 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan yang mana masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh disumbangkan MAIPs bernilai RM14,000 pada sesi kali ini. – JM