Penyedia platform dalam talian perlu proaktif sekat aktiviti tidak bermoral – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
24 DIS. 2024

Kementerian Komunikasi terus menggesa semua penyedia platform dalam talian agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang- undang.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ibu bapa dinasihatkan agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi,” katanya dalam kenyataan media.

MENJEJAKI PENJENAYAH SEKSUAL

Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas pelaksanaan operasi bersepadu “Op Pedo” yang bertujuan menjejaki penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di pelbagai platform dalam talian.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara menerusi kenyataan media hari ini, 13 individu lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 74 tahun telah ditangkap dalam serbuan di enam negeri, setelah polis menjumpai sejumlah 40,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi,” katanya.

Jelasnya, tindakan tegas ini membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk secara dalam talian.

Tambah Fahmi, kerajaan MADANI akan terus menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara, serta tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa depan mereka. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *