Hati-hati menulis di media sosial elak jadi kesalahan jenayah – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
24 DIS. 2024

Masyarakat dinasihatkan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan umum, terutamanya di media sosial, bagi mengelakkan kelakuan kesalahan jenayah.

Perbuatan menyebarkan maklumat sulit atau tidak sahih, termasuk melalui pelbagai platform juga boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta peruntukan undang-undang lain.

Perbuatan memfitnah individu atau organisasi melalui penyebaran berita palsu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Selain itu, kesalahan menghina agama Islam melalui kenyataan yang bersifat provokatif atau sensitif boleh mencetuskan kontroversi dan menyentuh sensitiviti agama, sekali gus mampu mengundang tindakan undang-undang.

UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

Pengguna media sosial diingatkan bahawa undang-undang di Malaysia melindungi kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan sebarang penghinaan boleh dianggap sebagai jenayah serius.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampunh Ngulang, Mata Ayer, Perlis.

Menambah dalam topik yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa dalam konteks Negeri Perlis, baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri Perlis telah meluluskan pindaan terhadap Seksyen 39 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan menghina agama Islam, hukum syarak, atau fatwa yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri berdasarkan Akta Mahkamah Syari’ah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.

MENETAPKAN HUKUMAN DENDA

Pindaan ini menetapkan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Langkah ini diambil bagi memastikan undang-undang syariah lebih tegas dalam menangani penghinaan terhadap agama Islam serta memberi amaran keras kepada pihak yang cuba mencabar kesucian agama.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dibuat, sama ada secara lisan atau bertulis.

Sentiasa memastikan fakta yang dikongsi adalah benar dan tidak menyinggung mana-mana pihak.

MENYERU SEMUA PIHAK

Pihak berkuasa menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam menjaga keharmonian negara dengan tidak mempergunakan isu agama sebagai bahan perdebatan atau provokasi.

Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan bagi membantu dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Usaha ini merupakan acara mingguan yang dijalankan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan dalam usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyantuni dan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih iaitu Mohd Nasir Said, 59, Rosni Desa, 58 dan Aminah Abdullah, 82 yang kesemuanya dari Kampung Ngulang.

BANTUAN WANG TUNAI

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

Raja Muda turut berkenan berangkat merasmikan Jejawi Pool Cottage yang menawarkan 7 bilik yang dilengkapi penghawa dingin, keperluan asas, ruangan memasak, kolam renang dan kawasan parkir berpagar.

Rumah inap ini menjadi tumpuan khususnya tetamu yang berkeluarga pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

Baginda turut singgah di Batik Inderawasih, Rumah Tradisional milik peribadi Mohd Amri Kapli dan juga Ngulang Kopitiam sebagai tanda sokongan kepada kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *