Op Pedo: 13 lelaki tempatan ditahan di seluruh negara

Oleh: Sholina Osman
24 DIS. 2024

Sebanyak 13 lelaki tempatan di seluruh negara ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian yang melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek ditahan menerusi Operasi Bersepadu “Op Pedo” pada 23 Disember 2024 oleh PDRM yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata, suspek ini yang berusia dari 20 hingga 74 tahun ini ditangkap dalam serbuan di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

“Hasil pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis kediaman kesemua suspek telah menemui anggaran 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi dewasa,” katanya dalam kenyataan media.

PERANTI YANG DIRAMPAS

Razarudin berkata, peranti yang dirampas untuk siasatan lanjut adalah 7 unit set komputer, 1 unit komputer riba, 11 buah telefon bimbit dan 16 unit modem dan router.

Katanya, kesemua suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan CSAM di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesalahan memiliki bahan lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *