Oleh: Sholina Osman
19 DIS. 2024
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH)
merupakan permulaan positif kepada usaha pemerkasaan program bandar pintar yang bakal memberi manfaat kepada para penduduk Ipoh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama strategik ini bermatlamat untuk memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan DPCH dalam membantu mempertingkat infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.
PELAN PERAK SEJAHTERA
“Di bawah MoU tersebut, liputan Internet di Perak akan ditambah baik bagi menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui,” katanya ketika berucap pada majlis MoU antara MCMC dengan DPCH di sebuah hotel di Ipoh, Perak.
Sempena MoU itu, MCMC diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan DPCH oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.
Ia disaksikan oleh beliau, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Exco Komunikasi, Multimedia & NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
KHIDMAT NASIHAT TEKNIKAL
Fahmi berkata, MCMC juga akan turut menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.
Beliau berkata, turut dilaksanakan di bawah MoU ini ialah penerokaan kerjasama berkaitan dengan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak yang menyasarkan pembabitan komuniti setempat di kawasan NADI,” katanya.
“Ternyata, inisiatif-inisiatif yang saya sebutkan tadi adalah perlu bagi menjadikan bandar raya Ipoh sebuah bandar raya yang bukan sahaja efisien dan inovatif, bahkan juga lestari,” katanya lagi.
BAHAWA PENDEKATAN KOLABORATIF
Jelasnya, kerjasama antara MCMC dengan DPCH adalah bukti bahawa pendekatan kolaboratif adalah langkah terbaik untuk memacu inisiatif ini.
Fahmi berkata, melalui usaha kolektif, kerajaan boleh membuka potensi penuh bandar pintar, memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung.
Sekaligus katanya dengan kerjasama strategik ini akan dapat membantu menyokong DPCH mencapai sasaran menjadi bandar pintar. – JM