KOA Sungai Tonggang lokasi pertama projek rintis kempen advokasi MCMC

Oleh: Sholina Osman
19 DIS 2024

Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Tonggang dipilih sebagai lokasi pertama untuk projek perintis kempen advokasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkasakan komuniti Orang Asli terhadap keselamatan dalam talian.

Kenyataan media MCMC menyebut, kempen yang bertemakan “From Roots to Routes: Boosting Economic Development and Social Empowerment for Orang Asli Sungai Tonggang” telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi mengadakan lawatan kerja ke Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Tonggang yang dan ke tapak menara JENDELA KOA Sungai Tonggang yang baharu beroperasi sejak Oktober 2024.

MEMBINA KEUPAYAAN KOMUNITI

Kempen advokasi ini bagi membina keupayaan komuniti tersebut untuk memanfaatkan dunia digital dan seterusnya memajukan ekonomi mereka.

Ia dijayakan bersama dengan rakan-rakan strategik seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pos Malaysia, Sekretariat Wanita Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak.

Di bawah program advokasi keselamatan digital, murid-murid berusia dari 7 hingga 17 tahun akan didedahkan dengan enam sesi pembelajaran di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berdekatan.

TIGA SESI TAKLIMAT

Selain itu, tiga sesi taklimat turut disediakan untuk para ibu bapa dan guru.

Dalam pada itu, di bawah program advokasi pembangunan ekonomi pula, MCMC bersama rakan-rakan strategik tadi akan mengadakan sesi bimbingan keusahawanan untuk membantu masyarakat Orang Asli mencipta peluang perniagaan.

Menerusi sesi bimbangan yang diberikan itu, mereka dapat mengetengahkan produk tradisional bernilai tinggi dan seterusnya menjana sumber pendapatan sekali gus membantu mencipta industri komuniti yang lebih kukuh.

SATU CONTOH KEJAYAAN

Salah satu contoh kejayaan yang telah dicapai setakat ini ialah inisiatif ekopelancongan iaitu Projek Kayuh D’ Tonggang di Kampung Sungai Tonggang yang diusahakan oleh komuniti Orang Asli dengan sokongan pelbagai agensi.

Hasil sokongan yang diberikan telah berjaya menarik pelancong serta menjana pendapatan untuk penduduk setempat dan ini telah memperkukuh ekonomi komuniti.

Pembangunan infrastruktur, sosioekonomi serta jaminan keselamatan dalam talian adalah penting kepada usaha membentuk sebuah ekosistem yang baik selain mempersiapkan masyarakat Orang Asli dalam mendepani cabaran mendatang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *