MCMC terbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Internet, media sosial

Oleh: Sholina Osman
20 DIS 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini adalah susulan daripada Laporan Rundingan Awam yang diterbitkan pada 18 Disember 2024.

Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) telah dibangunkan untuk menyokong kerangka kelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial, yang menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan dan keperluan tatalaku yang lain.

Kod ini bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan mengutamakan keselamatan dalam talian, terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan.

MENGHARGAI MAKLUM BALAS

MCMC menghargai maklum balas yang diterima sepanjang proses rundingan awam tersebut.

Maklum balas daripada pihak awam telah bantu memastikan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian sambil mewujudkan ruang yang lebih selamat dan terjamin untuk semua rakyat Malaysia.

Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini juga akan disemak dari semasa ke semasa mengikut keperluan untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran semasa.

MCMC akan memberikan panduan dalam penerapan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini untuk memastikan keberkesanannya bagi mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *