Oleh: Sholina Osman
20 DIS. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 yang akan berkuatkuasa mulai 23 Disember hingga 27 Disember 2024.
Kenyataan media KPDN memaklumkan tempoh pelaksanaannya selama lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
Pengumuman 14 jenis barangan kawalan sempena Krismas pada tahun ini diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam
Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menterinya, Senator Dr. Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
TEMPOH PELAKSANAAN SHMMP
Kenyataan media itu juga menyebut bahawa tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti ketersediaan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain-lain.
Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik Kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri.
AKTA KAWALAN HARGA
SHMMP Krismas 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Krismas 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli- belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika.
Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim.
Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. – JM