Tapak sekolah baharu mesti kawasan selamat, tinggi elak banjir – Fadhlina

Oleh: Sholina Osman
Gambar Ihsan FB KPM

17 DIS. 2024

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan tapak bagi setiap projek pembinaan sekolah baharu nanti di kawasan yang selamat dan tinggi supaya tiada risiko berlaku bencana terutamanya banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan tapak sekolah baharu akan terus diberi keutamaan bagi mengelak kawasan tersebut terjejas teruk akibat bencana termasuk banjir.

Beliau berkata, suasana yang kondusif untuk menjamin pendidikan sangat penting maka bila berlaku bencana seperti banjir maka ia adalah antara perkara yang perlu diteliti oleh pihak Kementerian.

PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA

“Selain itu tapak sekolah baharu juga kena berkedudukan di tapak selamat kerana ia turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir,” katanya pada sidang akhbar.

Sebelum itu Fadhlina menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Asrama Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) sempena Program Ziarah Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, Perlis.

Antara kemudahan yang terdapat di dua blok bangunan baharu di SMKA Arau ini termasuk asrama murid, dewan makan, bilik Tasmi’, surau, tandas, pejabat warden, rumah warden, bilik utiliti dan kemudahan lain.

MENYEMARAKKAN SYIAR ISLAM

Kejayaan projek yang bernilai RM19 juta ini adalah cerminan iltizam berterusan KPM untuk menyemarakkan syiar Islam menerusi peningkatan akses pendidikan dan pemerkasaan program seperti Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).

Pada waktu ini, program TMUA seperti di SMKA Arau turut ditawarkan di 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan jumlah murid seramai lebih 9,000 orang di seluruh negara.

Program TMUA bermatlamat melahirkan golongan profesional, teknokrat dan usahawan Hafiz al-Quran.

Sepanjang sedekad program ini, seramai lebih 7,000 orang Hafiz al-Quran berjaya dilahirkan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *