PJRM Krismas: 200 keluarga di Papar terima sumbangan Yayasan Petronas

Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2024

Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas kali ini istimewa apabila Yayasan Petronas sudi memberikan sumbangan kepada 200 keluarga bagi Parlimen Papar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sumbangan berupa barangan keperluan harian ini sedikit sebanyak membantu para penerima membuat persiapan menjelang Perayaan Natal nanti.

“Ini seiring dengan PJRM diadakan bagi membantu masyarakat sekitar mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah berbanding harga pasaran, terutamanya mereka yang sedang membuat persiapan untuk menyambut Hari Natal,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum itu Armizan menghadiri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas, Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan yang diadakan di Gereja St Augustine, Kinarut, Papar.

INISIATIF IHSAN RAHMAH

“Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas atas sumbangan yang diberikan sekali gus menyokong dalam menjayakan inisiatif Ihsan Rahmah MADANI,” katanya.

Sumbangan hari ini juga merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,850 buah keluarga dari seluruh Malaysia yang telah disantuni oleh Petronas melalui Program Memacu Kehidupan 2024 ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidil Fitri, Gawai, Kaamatan, Deepavali, dan kini perayaan Krismas.

Untuk makluman, Yayasan Petronas merupakan cabang impak sosial Petronas yang mempunyai tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti dan alam sekitar.

Pelbagai program dilaksanakan oleh Yayasan Petronas ini sebagai usaha membantu memberikan kesejahteraan, kelestarian dan pembangunan kepada masyarakat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *