Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2024
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM245,708 daripada
Bank Kerjasama Rakyat.
Majlis sumbangan diadakan sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, Arau.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menerima
sumbangan zakat yang dipersembahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Prof. Dr. Raduwan Idar.
Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani Abdul Rahman, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT
Menurut Prof. Dr. Raduwan, sumbangan ini adalah manifestasi komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memastikan manfaat zakat dapat disalurkan secara menyeluruh kepada asnaf yang memerlukan.
Selain itu, Mohd Nazim berkata program ini adalah cerminan gabungan usaha Bank Rakyat dan MAIPs dalam memperkukuhkan agenda pembangunan sosioekonomi serta membantu golongan asnaf di Perlis.
“Sumbangan zakat Bank Rakyat ini akan disalurkan kepada golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan, pendidikan, perubatan, dan pembangunan komuniti,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, sumbangan zakat ini menggambarkan kesungguhan Bank Rakyat untuk menyokong inisiatif kemasyarakatan.
MERUPAKAN INISIATIF BERTERUSAN
“Program Kayuhan MAIPs Peduli ini merupakan inisiatif berterusan yang menggabungkan elemen kemasyarakatan dan kebajikan, di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, program ini juga menjadi medium efektif untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Raja Muda juga berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf Rosila Saad, 55 di Kampung Alor Setar, Siti Mariah Mahmood, 73 di Kampung Kubang Paya dan Saadih Osman, 66 di Kampung Guring Bawah pada edisi kali ini.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyempurnakan lawatan ke beberapa lokasi sekitar Pauh Guring dan Arau.
RESTORAN USAHAWAN ASNAF
Baginda berkenan merasmikan Restoran Usahawan Asnaf MAIPs yang diusahakan oleh Mohd Khalis Mat Shah di Warung Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji (GS Care).
Mohd Khalis sebelum ini menerima bantuan mesih doh roti canai daripada MAIPs untuk menyokong perniagaan beliau.
Baginda juga melawat Pusat Latihan Renang RNJ Arau, sebuah inisiatif komuniti yang bertujuan meningkatkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat. – JM