Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2024
Pindaan terhadap Perlembagaan PKR dalam Konvensyen Nasional Khas Keadilan 2024 telah menyerlahkan komitmen parti meningkatkan partisipasi wanita dalam politik.
Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek berkata, sekaligus inklusiviti merentasi batasan gender dan etnik.
“Usul ini dapat menyuburkan amalan demokrasi dan memastikan reformasi dalam pemilihan parti,” katanya dalam kenyataan media yang menyambut baik Usul Pindaan Perlembagaan Fasal 17.2, 17.2A dan 17.2B yang diluluskan pada kongres berkenaan.
Fadhlina berkata, partisipasi wanita di peringkat tertinggi parti dapat ditingkatkan menerusi usul pemilihan Perwakilan Biasa Cabang dan Perwakilan Tambahan yang inklusif.
Beliau berkata, ia akan mengambil kira kuota gender dan etnik minoriti seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berdasarkan demografi di kawasan parlimen.
Jelasnya, menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), wanita mewakili lebih 50 peratus pemilih yang berdaftar.
“Suara wanita adalah penentu penting kepada hala tuju negara maka adalah penting untuk KEADILAN terus mengasah bakat serta daya kepimpinan wanita dan memberi mereka sepenuh perhatian,” katanya.
Bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita sebagai pemimpin politik dan calon dalam PRU yang akan datang, katanya, Wanita KEADILAN giat menganjurkan pelbagai program pengkaderan dan pembangunan potensi di semua peringkat.
Jelasnya, inisiatif pemberdayaan wanita akan terus dipertingkatkan.
“Wanita KEADILAN beriltizam untuk terus mengangkat agenda mengarusperdanakan gender, mengiktiraf penyertaan aktif wanita dalam politik dan pada masa sama mengekang amalan patriarki dan ideologi hegemoni maskuliniti,” jelasnya. – JM